Tiada kompromi buat ketiga-tiga penjaga gol skuad utama Kedah, iaitu Ilham Amirullah Razali, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Shahril Sa'ari, dalam menurunkan berat badan ke tahap yang lebih ideal.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menegaskan sasaran yang ditetapkan jurulatih penjaga gol baru kelab itu, Khairul Azman Mohamed, perlu diambil serius tiga pemain berkenaan.

Ia kerana masalah berat badan mampu memberikan kesukaran buat mana-mana penjaga gol andai situasi itu diambil mudah.

Paling senior dalam kalangan mereka adalah Ifwat Akmal, yang perlu menurunkan berat badan secara drastik memandangkan berat badan pemain itu kini sudah mencecah 90 kilogram.

"Perkara paling penting adalah saya dapat melihat kesemua tiga penjaga gol saya amat profesional. Apa yang jurulatih Khairul Azman mahukan, tidak kira apa, mereka perlu menurutinya," kata Aidil Sharin kepada Nadi Arena.

"Dia bos di bahagian penjaga gol, jadi perkara utama adalah mereka perlu bekerjasama dan mencuba untuk mencapai sesuatu musim depan."

Aidil Sharin selesai menjalani proses kuarantin selama 10 hari selepas kembali ke Malaysia daripada Singapura .

Tambahnya, pertukaran tempat latihan seperti yang diuar-uarkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Sanusi Md Noor, diharapkan mampu memberikan lebih keselesaan buat pasukan itu untuk menjalani latihan harian mereka.

"Hari ini adalah hari pertama saya bagi musim depan. Tetapi hari ini kami memang berlatih di tempat lain dan bukannya di (Kompleks Sukan) Suka Menanti.

"Kami berlatih di padang yang agak baik juga, jadi diharapkan daripada apa yang MB (Menteri Besar) kata, kami akan dapat tempat latihan yang baru dan baik. Insya-Allah kami akan menantikannya sebagai satu pasukan," tambahnya.