Tiga pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana berdepan dengan kemungkinan tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan gara-gara dokumen pelesenan yang masih belum lengkap.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh akhir tatkala tiga pasukan lagi masih gagal melengkapkan dokumen yang diperlukan selain UKM FC langsung tidak berbuat apa-apa.

Kuching FA, Melaka United dan Kelantan sudah menghantar dokumen yang diperlukan pada hari ini, namun badan induk itu masih menunggu perkembangan terkini daripada Pulau Pinang dan Pahang.

"Ada dokumen yang boleh ditunggu hingga tahun depan. Pasukan tidak boleh dipersalahkan kerana ia melibatkan pihak ketiga. Tetapi kalau ia melibatkan laporan dalaman yang ada di tangan pasukan, ia tidak boleh diberi kelonggaran," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, kepada wartawan Astro Arena, Norsyarafina Nasrom, di Wisma FAM hari ini.

Kelonggaran untuk tujuh pasukan terlibat diberikan ekoran kegagalan mereka mendapatkan dokumen daripada pihak ketiga yang berpunca daripada situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Pasukan besar perlu bergerak cepat sebab tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh tutup," tambahnya.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah mengesahkan pasukan itu hampir melengkapkan dokumen pelesenan kelab dan akan menghantar kepada FAM pada hari ini bagi memastikan mereka boleh beraksi dalam Liga Super musim 2021.

""Kami agak sibuk tetapi dokumen kami hampir sempurna," katanya.




Kuching FA pula menerusi Presiden, Fazzarudin Ahmad, menjelaskan mereka telah menghantar dokumen itu selepas selesai mengemas kini beberapa butiran yang tidak lengkap.

"Sebelum ini kami tersilap hantar dokumen. Kami telah menghantar yang baru dan sedang menunggu kelulusan daripada FAM," katanya.