Tiga pasukan intai Malik 

Oleh Tengku Danish Bahri 11 November 2019 7653
Tiga pasukan intai Malik 
Dua pasukan Liga Super dan satu pasukan Liga Perdana berhasrat menyunting pemain sayap lincah, Abdul Malik Mat Ariff, bagi saingan musim depan.

Ketika mengesahkan lamaran itu, Malik begitupun mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memilih destinasi barunya selepas dilepaskan Terengganu FC (TFC).

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, dia tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan, sebaliknya akan meneliti lamaran tiga pasukan berkenaan.

"Sudah ada pasukan yang menyatakan minat dan salah satu daripadanya adalah pasukan kelompok atasan dalam Liga Super.

"Tapi saya belum bersedia untuk umumkan pasukan mana yang akan diwakili musim depan," katanya.

Penjaring Terbanyak Tempatan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 berkenaan dalam pada itu menyifatkan jodoh yang tidak panjang bersama TFC sebagai lumrah dalam bola sepak.

Sambil berterima kasih kepada bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, Malik tidak menolak untuk kembali menabur bakti kepada Sang Penyu pada masa akan datang.

"Saya puas dengan pengalaman sepanjang dua musim di Kuala Terengganu dan peluang berguru dengan Irfan Bakti tidak ternilai harganya.

"Musim 2018 antara yang terbaik bersama TFC walaupun gagal dalam final Piala Malaysia," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen