Keputusan tersebut dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundangan dan Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang pada Jumaat.

Mesyuarat pada Jumaat dipengerusikan sendiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan turut dihadiri Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar dan Setiasuaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Rosman Ibrahim.

Siti Zubaidah mengesahkan PKNS kini bebas beraksi sejurus jawatankuasa tersebut memutuskan bahawa PKNS sebenarnya tidak memerlukan sokongan FAS untuk penyertaan dalam Liga M 2017.

Artikel 4.1.3 (I) Peraturan Liga Malaysia 2013-2016 mewajibkan pasukan kelab memerlukan sokongan ahli gabungan negeri untuk beraksi di Liga M.

Bagaimanapun, artikel tersebut tidak digunakan dalam isu PKNS FC dalam penyertaan Liga M 2017.

"Menurut fahaman saya, oleh kerana kita telah menandatangani kontrak dengan pihak FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) maka PKNS FC boleh terus berurusan dengan mereka dan tidak perlu mendapat sebarang sokongan daripada persatuan negeri," ujar Siti Zubaidah.

Dalam pada itu, Afandi menjelaskan mengapa peraturan 4.1.3 (I) tidak digunakan untuk penyertan musim 2017.

"Penyertaan pasukan daripada pihak awal memang diberikan kebenaran oleh ahli gabungan FAM.

"Kemudian apabila mereka telah berada di dalam kelompok kejohanan yang dikendalikan FMLLP, setiap pasukan itu dianggap sebagai rakan kongsi FMLLP.

"Setiap pasukan yang telah menandatangani perjanjian perkongsian penyertaan liga bersama FMLLP bermakna pihak FMLLP mengawal status setiap pasukan," jelasnya.