Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan wujud masalah dalaman hingga menyebabkan majlis pelancaran pasukan dan jersi pemain skuad bola sepak Perak serta sesi bertemu peminat hari ini ditunda.

Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Azlin Mohd Nadzri, berkata penundaan itu dibuat bagi memperkemaskan lagi beberapa perkara yang terarah kepada persiapan skuad The Bos Gaurus.

"Tiada sebarang isu dalaman yang berlaku, cuma kami sedang memperkemaskan lagi beberapa perkara.

"Kami nak mengharungi kempen yang panjang untuk tahun ini, jadi kami mahu yang terbaik untuk pasukan," katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan PAFA Ke-61 di Hotel Kinta River Front, Ipoh hari ini.

PAFA membuat kejutan apabila mengumumkan majlis yang sepatutnya diadakan hari ini itu ditunda ke tarikh lain disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, beliau berkata satu tarikh baru akan diumumkan dan majlis itu akan diadakan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) memulakan saingan bulan depan.

"Tarikhnya akan kami tentukan kemudian. Buat masa ini kami sedang menyusun semula, tidak lama lagi (tarikh)," katanya.

Mengenai kongres itu, semua ahli gabungan PAFA yang terdiri daripada perwakilan persatuan bola sepak daerah-daerah bersetuju untuk mewujudkan akademi bola sepak, khususnya di peringkat akar umbi.

Mohamad Azlin berkata perkara itu bertepatan dengan seruan Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mahu lebih ramai anak jati negeri berkenaan digilap untuk dijadikan sebagai pelapis atau tonggak masa depan kepada skuad The Bos Gaurus.

"PAFA sendiri telah memberi jaminan kepada persatuan bola sepak daerah-daerah bahawa kami akan bekerjasama dengan mereka untuk memastikan kewujudan akademi ini akan dapat direalisasikan bagi pembangunan bola sepak Perak," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin