Ketua Pencari Bakat dan Wakil Delegasi Asing, Johor Darul Ta'azim (JDT), Martin Prest, menepis dakwaan di laman sosial dan media tempatan bahawa wujud pemain yang mahu meninggalkan juara Liga Super itu.

Menerusi entri terbaru di laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers, Prest berkata: "Saya berasa amat melucukan apabila beberapa laman sosial atau media cuba untuk membuatkan seolah-olah pemain JDT telah dibeli atau mereka mahu meninggalkan JDT.

"Realiti yang sebenarnya, ini adalah kelab yang paling profesional di rantau ini. Pemain bermain berdasarkan falsafah dan struktur yang baik.

"Mereka dibayar gaji yang terbaik dan mereka juga bermain dalam pertandingan antarabangsa. Tiada pemain di rantau ini yang mahu meninggalkan JDT atau sistem JDT," jelasnya.

Tambah Prest lagi: "Ini adalah satu-satunya pasukan di negara ini yang mempunyai perancangan untuk berkembang dari segi falsafahnya dengan kestabilan kewangan yang kukuh untuk tempoh 30 tahun akan datang."

Sementara itu, Prest menegaskan bahawa tiada pasukan yang mampu membeli pemain JDT melainkan kelab itu sendiri memutuskan untuk melepaskan pemain dengan harga murah.

Kredit imej: Laman Facebook JOHOR Southern Tigers