Penolong jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ismail Ibrahim, menegaskan tiada jaminan buat Ahmad Hazwan Bakri untuk berada dalam kesebelasan utama biarpun bekas penyerang Selangor itu hadir dengan reputasi hebat selaku penyerang terbaik negara ketika ini.

Hazwan menyertai JDT, Isnin lalu, dengan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab Harimau Selatan itu.

Menambah kekuatan jentera serangan JDT, kehadiran penyerang kelahiran Labuan itu sudah pasti ditagih susulan aksi cemerlangnya bersama Red Giants pada musim 2016.

Hazwan, bagaimanapun, tetap dituntut untuk berusaha keras bagi merebut tempat dalam skuad utama JDT musim depan.

"Peluang masih terbuka kerana kami mempunyai ramai pemain berkaliber. Jadi, saya harap mereka datang ke JDT ini sebagai satu cabaran, bukan untuk selesa.

"Mereka perlu bersaing antara satu sama lain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan JDT," kata Ismail.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan skuad bimbingan Mario Gomez itu akan membuat kunjungan ke Thailand pada Januari depan untuk aksi pra-musim 2017.

"Saya harap kami telah membuat persiapan yang baik. Kami akan ke Bangkok pada Januari ini untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan Chonburi FC dan Buriram United FC.

"Di situ kami dapat menilai pasukan kami, bagaimana kami dapat menghadapi Bangkok United nanti.

JDT akan menentang Bangkok United dalam aksi play-off kelayakan Liga Juara-Juara AFC, 31 Januari depan di Bangkok.

Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat kali ketiga selepas menamatkan musim ini dengan 15 mata meninggalkan Felda United.