Pertahanan import baru Felda United, Thiago Junior Aquino, mendedahkan dia sebenarnya masih menunggu tawaran Perak sebelum membuat keputusan menyertai skuad The Fighters bagi mengharungi musim 2018.

Thiago, yang telah bersama Perak selama tiga musim, terpaksa menelan kepahitan bahawa jodohnya bersama Perak akhirnya terlerai.

Biarpun menjadi kesayangan penyokong setia The Bos Gaurus di atas komitmen serta prestasi bersama pasukan selama ini, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mungkin ada perancangan lain.

Jelas Thiago, dia sememangnya memberi keutamaan mahu bersama Perak terlebih dahulu sebelum menerima lamaran Felda.

"Saya telah menunggu tawaran daripada Perak tetapi ejen saya memberitahu tiada tawaran daripada mereka dan kini saya berhijrah ke Felda," katanya.

"Saya gembira kerana sudah memulakan sesi latihan bersama pasukan dan membuat persiapan menghadapi musim hadapan."

Mengenai status terkini Felda yang terpaksa diturunkan ke Liga Perdana, Thiago tidak menghadapi masalah untuk terus bersama pasukan.

Sebagai pemain profesional, dia akan memastikan Felda memenangi apa jua perlawanan dilalui dengan sasaran tiga kejuaraan pada musim 2018.

"Pasukan menjalani latihan yang intensif untuk membiasakan diri dengan taktikal serta strategi yang telah ditetapkan oleh jurulatih," katanya.