Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mengakui pemain tengah Pahang, Ahmad Syamim Yahya, berada dalam radar The Fighters untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, Syamim mempunyai ciri-ciri pemain yang dihajatinya sebagai seorang pemain tengah.

Sebelum ke Pahang, Syamim juga pernah tiga musim bersama Felda.

"Khabar angin itu memang betul. Kalau betul saya dapat Syamim, baguslah.

"Dia pernah bermain untuk Felda, saya berminat dengan khidmatnya dan rundingan sedang berjalan," ujarnya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengesahkan Felda akan hanya menyenaraikan 23 pemain untuk skuad utamanya musim depan bagi menjimatkan kos. Namun, ia akan dibarisi pemain berkualiti yang mampu memberi saingan.

"Kami mempunyai empat pemain Piala Presiden dan seorang pemain B-19 negara yang boleh bermain dalam kesebelasan utama Felda.

"Buat apa kami membayar harga yang mahal untuk khidmat pemain senior," katanya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Kehormat Felda United, Zulkarnain Muhammad, mengesahkan kelab itu sudah menghantar rayuan kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mendapatkan kelulusan pelesenan kelab.

"Kami sedang menunggu jawapan daripada FMLLP selepas membuat rayuan dan mengemukakan surat kepada mereka," kata Zulkarnain.