Sekurang-kurangnya tujuh lagi aksi pemanas badan dirancang Terengganu FC (TFC) sebelum sepak mula Liga Super 2020 hujung bulan depan.

Menurut pengendalinya, Mohd Nafuzi Zain, TFC akan bertemu juara Liga M3, Kelantan United, di tempat sendiri Jumaat depan sebelum bertolak ke Lembah Klang.

Di sana, mereka akan menguji pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur; wakil Singapura, Hougang United dan juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC.

Nafuzi berkata skuad bimbingannya juga merangka siri jelajah ke Bangkok, Thailand, dan akan mengadakan aksi pemanas badan dengan tiga kelab tempatan.

"Persiapan sedang dilakukan untuk mencari perlawanan berkualiti untuk memperkemaskan aspek kecergasan dan persefahaman.

"Pemain-pemain baru semakin menunjukkan peningkatan berbanding hari pertama mereka dan setakat ini saya berpuas hati," jelasnya.

Sebelum ini, TFC sudah pun mengadakan aksi persahabatan dalaman bertemu TFC II dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selain turut berdepan Kelantan di Kota Bharu.

Sementara itu, Nafuzi mengesahkan pasukannya akan kembali diperkuatkan barisan terbaik bermula esok selepas kembalinya tonggak import, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov dan Faris Ramli.

"Kesemua pemain utama kemudian akan terus menjalani latihan dan dibawa bersama dalam siri perlawanan persahabatan."

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)



Editor: Shaiful Shamsudin