TFC tunggu keputusan terbaik FAM, MFL

Oleh Tengku Danish Bahri 26 April 2020 703
TFC tunggu keputusan terbaik FAM, MFL
Pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC), mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung ketetapan status Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini.

Menurut pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya, pasukan itu menyerahkan sepenuhnya kepada badan induk dan penganjur bola sepak negara berkenaan untuk membuat keputusan terbaik.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jelasnya pasti akan mengambil langkah demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

Justeru, Shahrizal berkata arahan kerajaan untuk tidak membenarkan Liga-M diteruskan sekalipun selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diperhalusi sebaiknya.

"Larangan itu datangnya daripada pihak kerajaan dan sebagai pasukan bertanding, kami perlu tunggu keputusan FAM dan MFL.

"Tujuan arahan kerajaan itu tentunya untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

"Bukan mudah menghadapi waktu sukar ini, jadi saya harap ada keputusan positif nanti," tambahnya.

Kerajaan melalui Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, menyatakan larangan untuk meneruskan Liga-M walaupun tempoh PKP ditamatkan.

FAM dan MFL pula kini dalam usaha merangka prosedur operasi standard (SOP), namun perlu diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapat lampu hijau.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen