TFC tidak boleh kalah kepada JDT, kata Nafuzi

Oleh Muzaffar Musa 10 September 2020 3636
TFC tidak boleh kalah kepada JDT, kata Nafuzi
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, menganggap pertembungan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu malam esok sebagai perhitungan sebenar buat anak buahnya dan enggan pungutan tiga mata terlepas di laman sendiri.

Berada di tangga kedua Liga Super musim ini, TFC dilihat sebagai pencabar utama untuk pendahulu liga itu mempertahankan gelaran mereka musim ini.

Justeru, Nafuzi dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, menggesa anak buahnya untuk bangkit daripada kekalahan di tangan Melaka United minggu lalu dengan misi menumbangkan juara Liga Super enam kali berturut-turut, JDT.

"Semestinya kami akan berhabis-habisan malam esok selepas tewas kepada Melaka minggu lalu.

"Pemain juga kelihatan positif menjelang perlawanan itu dan saya harap pemain kami dapat bermain dengan sepenuhnya dan mengikuti apa yang telah dirancang kerana kita tahu JDT merupakan pasukan terbaik.

"Memang sukar untuk kami menang tetapi ia tidak mustahil.

"Apa yang penting, kami perlu menang untuk mengembalikan motivasi kami selepas tewas kepada Melaka," katanya.

Mengulas lanjut, Nafuzi menambah: "Pasukan Terengganu sebenarnya bukanlah mahu bersaing dengan JDT tetapi kami hanya mahu meletakkan pasukan ini di tempat terbaik.

"Jika kami dapat bersaing dengan JDT, ia bagus untuk pasukan ini tetapi tiga pasukan, termasuk Kedah dan UiTM, turut ketinggalan enam mata di belakang JDT dan beza dengan pasukan lain juga tidak terlalu jauh.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh kalah dan perlu menang untuk berada di atas," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen