TERENGGANU FC 1 PAHANG 1

Hasrat Pahang untuk mengesahkan status selaku naib juara Liga Super tertangguh selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Beraksi selaku pelawat, Pahang dihidangkan peluang menerusi percubaan awal Lazarus Kaimbi hasil hantaran Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit kesembilan.

Penyerang TFC, Kipre Tchetche, kemudian cuba menembusi kubu lawan pada minit ke-17, namun bola lambungannya dikeluarkan Muslim Ahmad ketika penjaga gol sudah tertewas.

Skuad Tok Gajah menggandakan serangan yang memaksa penjaga gol tuan rumah, Ilham Amirullah Razali, menepis percubaan lencong Zuhair Aizat Nazri pada minit ke-24.

Ilham terus cemerlang menafikan situasi satu lawan satu berdepan Mohamadou Sumareh pada minit ke-41 dengan serangan balas selepas itu memberikan gol pertama TFC.

Ahmad Syamim Yahya muncul penjaring TFC apabila berjaya merampas bola kawalan Matthew Davies dan melakukan rembatan leret menewaskan Remezey Che Ros.

Lebih 3,000 penyokong tuan rumah hampir diceriakan gol kedua, malangnya voli bek kiri TFC, Adib Aizuddin Ab Latif (m-45) tepat ke dakapan Remezey.

Kedudukan menjadi 1-1 selepas Sumareh bijak melepasi kawalan Nasrullah Hanif Johan untuk menyudahkan rembatan kencang hanya lima minit bersambung babak kedua.

TFC kembali berpeluang untuk mendahului menerusi percubaan Syamim (m-53) serta Khairul Anwar Shahrudin (m-55) dari dalam kotak penalti yang sekadar melambung tinggi.

Asakan demi asakan TFC menerusi Abdul Malik Mat Ariff hampir membuahkan hasil, namun hantarannya dari sebelah kanan gagal disambar Tchetche pada minit ke-77.

Percaturan Pahang memasukkan Faisal Abdul Halim pula sudah terlewat dengan pengadil, Amirul Izwan Yaacob, menamatkan perlawanan dengan berkesudahan seri 1-1.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)