TFC intai awang import Eropah, Amerika Selatan, Afrika

Oleh Tengku Danish Bahri 5 November 2019 4690
TFC intai awang import Eropah, Amerika Selatan, Afrika
Penyerang dari Eropah, Amerika Selatan dan Afrika antara yang berada dalam senarai pendek Terengganu FC (TFC) bagi memperkuatkan pasukan itu musim depan.

Selain itu, sehingga empat pemain Vietnam, Indonesia dan Singapura turut diintai ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, untuk mengisi kekosongan kuota pemain import Asean.

Nafuzi berkata kriteria pemain-pemain terbabit sedang dinilai dan masih di peringkat awal selain tidak menolak ramai awang import akan hadir menjalani sesi pemilihan bersama TFC.

TFC sebelum ini terpaksa melupakan khidmat Kipre Tchetche yang akan beralih angin ke pasukan lain serta Thierry Chantha Bin yang tidak disambung kontrak.

"Proses mendapatkan pemain import masih berjalan dan kami sedang mengenal pasti calon terbaik menggantikan mereka yang tidak lagi bersama TFC.

"Saya jangka ramai yang akan hadir mencuba nasib dalam sesi pemilihan sebaik saja kami kembali berlatih bulan depan," katanya.

Sementara itu, Nafuzi yakin gabungan muka lama diketuai Lee Tuck serta tonggak muda mampu membentuk pasukan mantap TFC musim 2020.

Menurut bekas pemain negara itu lagi, lebih ramai tonggak Piala Belia dan Piala Presiden akan diberi peluang membarisi skuad utama TFC dalam saingan Liga Super.

"Diketuai Lee Tuck yang masih kekal, saya yakin adunan muka baru dan lama akan membuahkan hasil musim depan," tambah bekas jurulatih Piala Presiden T-Team itu.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen