Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk menghalang kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak kesampaian apabila tewas 0-1 dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu sebentar tadi.

Jaringan awal penyerang kebangsaan, Safawi Rasid, sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu.

Turun selaku dua pasukan teratas, suhu perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu pada awalnya berlangsung hangat tetapi segala-galanya berubah sebaik Safawi menjaringkan gol keduanya musim ini.

Berpunca daripada umpanan awal Afiq Fazail, pertahanan TFC, Argzim Redzovic, melakukan kesilapan dengan hantaran ke belakangnya gagal dibaca penjaga gol, Sharmiza Yusoff, sebelum pemain kelahiran Dungun, Safawi, bijak menghidu peluang itu untuk menggegarkan jaring lawan seawal minit kelima.

Kebangkitan yang diharapkan pasukan tuan rumah kendalian Nafuzi Zain itu untuk mengikat kedudukan jelas berdepan kesukaran apabila JDT lebih galak menghasilkan percubaan-percubaan tepat, khususnya daripada sentuhan Safawi dan Afiq.

Percubaan jarak jauh Natxo Insa hampir menggandakan jaringan JDT tetapi usahanya itu ditangkap kemas Sharmiza sebelum sepakan percuma Diogo Luis Santo turut ditumbuk keluar menjelang waktu rehat.

Aksi lebih berhati-hati dipamerkan JDT dalam babak kedua dengan peluang terbaik hadir menerusi sepakan percuma Safawi yang ditanduk sedikit serong ke luar oleh Diogo.

Dengan kemenangan itu, JDT kekal selaku pendahulu dengan 19 mata, berkelebihan lapan mata di depan pasukan di tangga kedua, Perak, manakala TFC jatuh ke tangga keempat berbekalkan 10 mata.



Keputusan lain
Liga Super:
Perak 1 UiTM 0
Selangor 1 Melaka United 1

Liga Perdana:
UKM FC 1 Kelantan United 0