PKNS FC mendapat suntikan semangat sebelum aksi Liga Super bersambung berdepan Kedah pada 25 Februari ini apabila menewaskan MISC-MIFA 4-1 dalam aksi persahabatan, semalam.

Aksi di Padang PKNS, Kelana Jaya itu menyaksikan pemain sayap Singapura, Faris Ramli, menyerlahkan persembahan cemerlang apabila meraih jaringan hatrik buat pasukannya.

Tiga gol tersebut dicatat pada minit ke-30, 42 dan 55 manakala satu lagi gol skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dijaringkan Rafael Ramzotti pada minit ke-40. Jaringan tunggal lawan pula diraih Kpah Sherman pada minit ke-65.

Bagi Rajagobal, perlawanan itu tidak boleh daijadikan ukuran untuk aksi berdepan skuad Hijau Kuning, namun ia membolehkannya menguji kombinasi dalam pasukan sebelum berdepan pasukan bimbingan Ramon Marcote itu.

"Saya rasa semua pemain yang diturunkan malam ini bermain dengan baik tetapi masih ada bahagian yang perlu diberikan fokus," katanya.

Sementara itu, pengendali MISC-MIFA, K. Devan, merehatkan beberapa tonggak utama dan menggunakan perlawanan persahabatan itu sebagai persiapan bagi menentang Felcra FC dalam Liga Perdana, 23 Februari ini.

"Tujuan aksi persahabatan ini adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain yang masih belum bermain dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Ia membolehkan mereka mendapatkan tahap kecergasan yang baik kerana mungkin faktor itu menjadi punca mereka melakukan kesilapan di penghujung aksi," ujar Devan.