Terpalit dengan tunggakan gaji, pemain tetap beri aksi terbaik -- Aidil

Oleh Ammar Hakim 30 Ogos 2020 1262
Terpalit dengan tunggakan gaji, pemain tetap beri aksi terbaik -- Aidil
Sikap positif pemain dapat pujian jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, terutama penyerang, Tcheche Kipre, yang meledak dua gol ketika menewaskan PDRM di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, dalam aksi Liga Super, semalam.

Pemain dan jurulatih Kedah tetap komited memburu kemenangan kedua dalam aksi liga walaupun Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melunaskan tunggakan gaji Mac hingga Jun lalu.

Sepatutnya mereka menerima tunggakan gaji berjumlah RM1.26 juta sebelum perlawanan menentang PDRM namun KFA meminta tempoh sehingga minggu depan.

Apa yang menarik, pemain mengetepikan isu itu dengan mempamer aksi mantap di atas padang.

Penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre muncul wira apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-29 sebelum menggandakan jaringan tujuh minit kemudian.

PDRM cuba bangkit selepas rehat namun Kedah kental bertahan untuk menghidupkan peluang mencabar pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) di persada liga.

"Walaupun Kedah mengalami isu tunggakan gaji, kami masih mahu mendapatkan keputusan yang positif musim ini. Saya sangat beruntung kerana memiliki barisan pemain yang berpengalaman dan berjaya memberikan semangat kepada pemain-pemain muda," kata Aidil.

"Anda dapat melihat dua pertahanan tengah pasukan tampil cemerlang dalam separuh masa kedua, saya tidak tahu apa yang berlaku ketika separuh masa pertama, mereka seakan-akan padam seketika dan itu adalah perkara yang mahu kami perbaiki sebelum perlawanan akan datang," kata jurulatih PDRM, Ishak Kunju Mohamad.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen