Pendatang baru Liga Super 2021, Penang FC terlepas peluang lebih awal berada dalam kelompok tiga terbaik apabila hanya membawa pulang satu mata dari Stadium MBPJ menentang PJ City semalam.

Ketua jurulatihnya, Tomas Trucha, mengakui ia berpunca daripada kesilapan anak buahnya sendiri selain memuji PJ City bukan calang-calang pasukan biarpun tiada pemain import.



Penang berpeluang berada di tangga ketiga liga jika mereka berjaya mengutip tiga mata dalam aksi kesembilan Liga Super.

Peluang itu hadir buat skuad Harimau Kumbang selepas Kedah hanya seri 1-1 ketika berkunjung ke Perak Sabtu lalu.

Perebutan semakin sengit kerana semua pasukan pasti mahu menyasarkan berada dalam kelompok tiga terbaik untuk menempah slot di pentas Asia tahun depan.

Menurut Truca, biarpun tercicir kesempatan tersebut, sebagai pendatang baru, mereka perlu bersyukur dengan kedudukan semasa jika nak dibandingkan dengan pasukan lain yang sedang bergelut.

"Kami tidak bermain baik dalam melakukan keputusan ketika menyerang, pasukan perlu lebih dahaga mendapatkan kemenangan selepas ini," katanya.

Sementara itu, PJ City mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri dan ketua jurulatihnya, P. Maniam, berbangga dengan prestasi ditampilkan barisan pemain, sekurang-kurangnya mampu mengembalikan semangat mereka selepas tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Apatah lagi dalam babak pertama perlawanan, Maniam menjelaskan PJ City lebih banyak mengasak kubu pasukan pelawat.

"PJ City telah bermain baik ketika melakukan serangan dalam separuh masa pertama namun fokus pasukan berkurang dalam separuh masa kedua," kata Maniam.

Sementara itu, larian pantas, kelincahan serta kawalan bola yang baik dimiliki Al-Hafiz Harun, menjadikan namanya meniti dibibir peminat bolasepak tempatan selain antara tonggak utama buat Penang FC.



Biarpun pemain berusia 27 tahun berkenaan bermula lewat dalam kancah liga bolasepak profesional, dia tekad untuk membuktikan kemampuan sebenarnya dan enggan hanya sekadar dikenali pada musim ini sahaja.

"Saya bersyukur kerana ramai mula nampak kemampuan saya di atas padang. Saya menganggap ini sebagai cabaran untuk terus beraksi dengan cemerlang bagi perlawanan akan datang," kata Al-Hafiz.