Pengendali sementara Terengganu, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, tidak mahu menjadikan kemelut di luar padang menghalang hasrat pasukan itu memburu kemenangan menentang Pulau Pinang, malam esok.

Baginya, walaupun peluang untuk kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan seolah-olah tipis selepas Pahang diberikan tiga mata percuma, tiada apa yang menjamin status Sang Penyu selain tiga mata pada perlawanan itu.

“Peluang kami masih ada dan belum tertutup, jadi misi berkunjung ke Pulau Pinang tiada pilihan lain, kami wajib menang.

“Walaupun terganggu dengan spekulasi penghijrahan pemain, jurulatih dan sebagainya, saya masih menagih sepenuh komitmen mereka malah dalam sesi latihan saya dapat lihat reaksi positif pasukan ini.

“Dengan gabungan pemain-pemain muda yang rajin dan rentak yang lebih baik, Terengganu akan berjuang habis-habisan," katanya.

Menurut Che Ku Marzuki lagi, “Tidak dinafikan corak permainan sedikit berubah selepas aksi kompetitif terakhir kami adalah sebulan yang lalu.

“Tetapi persiapan yang dilakukan diyakini dapat mengembalikan para pemain kepada tahap kecergasan yang terbaik.

“Pasukan lawan juga sudah tentu dibantu sokongan padu penyokong mereka di gelanggang sendiri tetapi saya tidak rasa itu memberi tekanan kepada kami.

“Sedikit perubahan akan dibuat dan beberapa pemain muda akan diserap ke dalam kesebelasan utama jadi saya berharap kami mampu mencapai kemenangan dan mengelak dari tersingkir ke Liga Perdana."