Terengganu, T-Team berwajah baru

Oleh Tengku Danish Bahri 21 November 2017 7781
Terengganu, T-Team berwajah baru
Persoalan yang membelenggu T-Team terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meneruskan hasrat menghantar hanya satu pasukan dalam saingan Liga Super, musim depan.

Keputusan itu dicapai dalam Kongres Tahunan PBSNT yang dipengerusikan Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif dalam sidang medianya menjelaskan kancah Liga Super 2018 hanya akan disertai skuad Terengganu, yang akan dikenali sebagai Terengganu FC (TFC) di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.

Penjenamaan itu menyaksikan TFC II akan beraksi dalam saingan Liga Perdana dan dibarisi gabungan beberapa pemain T-Team dan Terengganu yang tidak terpilih ke TFC I serta dua pemain import.

Jawatan pengendali TFC II akan ditentukan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan dengan jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.

Ahmad Razif juga memberitahu selain TFC I dan TFC II, penstrukturan semula itu turut melibatkan kesemua pasukan di Terengganu, termasuk skuad Piala Presiden (TFC III), Piala Belia (TFC IV) dan B-17 (TFC V).

“Perbelanjaan pada awal penubuhan T-Team sekadar RM3 juta, namun telah meningkat kepada RM12 juta musim ini.

“Selain sebagai langkah penjimatan, saya yakin penjenamaan semula ini mampu menambah kekuatan Terengganu untuk lebih dominan dalam bola sepak tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kongres sama, Ahmad Razif turut mengumumkan peningkatan insentif kepada ahli badan gabungannya daripada RM5,000 kepada RM50,000.

Malah, padang-padang utama di setiap daerah juga akan dinaik taraf bagi memenuhi keperluan serta selari dengan hasrat melahirkan lebih ramai pemain berpotensi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen