Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang meneliti senarai calon jurulatih baru untuk dilantik bagi membimbing pasukan itu musim hadapan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, PBSNT tidak menolak kemungkinan melantik jurulatih dari luar negara.

“Beberapa nama calon sudah berada dalam perhatian PBSNT di mana saya difahamkan antaranya ialah bekas ketua jurulatih negara, Dollah Salleh, pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim, Rahmad Darmawan (T-Team) serta bekas ketua jurulatih T-Team, Tomislav Steinbruckner.

“Namun, pihak pengurusan Terengganu dan T-Team akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum jawatankuasa pemilihan membuat keputusan untuk memilih calon terbaik.

“Nama-nama itu adalah antara yang saya dengar tetapi saya belum tahu siapa yang terpilih kerana keputusan di tangan jawatankuasa pemilihan.

“Sudah tentu saya berharap keputusan terbaik dapat diputuskan untuk melantik ketua jurulatih baharu bagi membimbing Terengganu pada 2017,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Rozi turut memberitahu penstrukturan menyeluruh yang akan dibuat bakal melibatkan pasukan utama Terengganu, T-Team, skuad Piala Presiden, dan Hanelang FC.

“Perubahan tersebut akan memperlihatkan pertukaran di peringkat pengurusan dan persatuan-persatuan, bersesuaian kepada kapasiti dan tahap tertentu.

“Inisiatif dan langkah yang akan dilaksanakan ini perlu diambil untuk mengelak daripada ketandusan bakat-bakat baharu yang boleh dicungkil ke peringkat lebih tinggi."