Pasukan bola sepak Terengganu bakal melalui penstrukturan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang semakin mencabar, musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, sambil menjelaskan penyusunan semula itu juga melibatkan pasukan T-Team dan Hanelang FC dalam Liga FAM.

Rozi menegaskan selepas tiada kejayaan sejak beberapa tahun lalu, sudah tiba masa pembaharuan dilakukan demi kepentingan dan kebaikan bola sepak di negeri itu.

Langkah penjenamaan semula juga sedang dalam perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), T-Team serta kerajaan negeri yang mengeluarkan jutaan ringgit setiap tahun.

Menurut Rozi lagi, usaha itu bukan bermaksud membubarkan mana-mana pasukan, sebaliknya lebih tertumpu kepada hanya satu pasukan utama.

“Perkara ini perlu dilihat dari sudut positif kerana Terengganu dan T-Team tidak sepatutnya bersaing antara satu sama lain.

“Penyusunan ini akan dibuat dalam masa terdekat dan kerajaan negeri sudah berjumpa dengan PBSNT serta T-Team untuk mereka datang dengan kaedah terbaik demi kebaikan semua,” ujarnya.

Mengakui strategi baharu itu mungkin mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong, Rozi berkata PBSNT dan T-Team akan membentangkan cadangan terbaik sebelum sebarang keputusan dicapai.

“Apabila tiada kejuaraan liga sejak 10 tahun lalu, bermakna ada yang tidak kena dalam sistem sekarang ini sedangkan Terengganu cukup hebat di peringkat pembangunan,” tambah Rozi.

Sementara itu, kegagalan Terengganu memanfaatkan peluang muncul juara Liga Perdana musim ini turut mendapat perhatian.

Walaupun mencapat misi layak ke Liga Super 2018, Rozi tetap menyifatkan ia satu kekecewaan selepas tumpas 1-3 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), malam tadi.

“Hala tuju Terengganu akan dibincangkan bersama PBSNT. Kami mahu melihat lebih ramai anak negeri ini beraksi dalam pasukan,” tambahnya lagi.