Kapten pasukan Terengganu FC (TFC) Lee Tuck mahu rakan sepasukannya melupakan episod malang selepas tewas 1-3 kepada Perak di laman sendiri dalam perlawanan pertama aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Sebaliknya, pemain import berdarah campuran Malaysia-England itu mahu rakannya bangkit dan mencipta kemenangan apabila berdepan pasukan gergasi bola sepak negara, Kedah di Stadium Darul Aman, malam esok.

Walaupun menyedari skuad Helang Merah bukan mudah untuk dijinakkan, Tuck yakin ia bukanlah misi mustahil dan Kedah mampu ditumbangkan sekiranya semua pemain memberi 100 peratus komitmen ketika berada di atas padang.

"Saya menyaksikan perlawanan Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lepas dan permainan mereka memang bagus.

Menentang Kedah, satu perlawanan sukar tetapi saya pasti kami akan berjuang dan memberikan 100 peratus keupayaan kami. Ini yang saya pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, walaupun gandingan bekas import TFC, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman pastinya menjadi ancaman buat mereka, skuad Penyu tidak akan berputus asa dan bersedia untuk mematahkan sayap Helang Merah di hadapan penyokong lawan malam esok.

Sementara itu pengendali TFC, Nafuzi Zain, mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan mudah dan mengawal situasi bola mati ketika berdepan Kedah malam esok.

"TFC akan dihukum jika melakukan kesilapan sama ketika berdepan Perak Sabtu lalu. Apatah lagi kemampuan penyerang Sherman dan Tchetche yang pastinya akan berusaha sedaya upaya memporak perandakan pertahanan kita.

Saya tuntut pemain beri fokus 100 peratus dan harap-harap kesilapan lalu menjadi pengajaran untuk semua," katanya.

-- BERNAMA