PJ CITY 0 TERENGGANU 2

Terengganu FC (TFC) bijak mengambil kesempatan untuk membuatkan PJ City terkulai 2-0 di Stadium MBPJ bagi memungut mata penuh dalam aksi Liga Super sebentar tadi, yang kembali bersambung sejak krisis COVID-19 melanda.


PJ City turun tanpa Safee Sali tetapi tiga tonggak import, Washington Brandao, Filemon Standy dan Kim Bong Jin berada dalam kesebelasan K. Devan.

Begitupun, tidak banyak peluang yang dicipta kedua-dua pasukan, kemungkinan sedikit kekok selepas lama tak beraksi.

Sebaliknya, Terengganu FC tampak mula beroleh keyakinan menerusi percaturan jurulatih pelawat, Nafuzi Zain.

Pada minit ke-31, hantaran ke belakang pemain tuan rumah dirampas import Sang Penyu, Dominique Da Silva.

Apalagi larian solo pemain itu dari tengah tidak dapat dihambat pertahanan lawan untuk menyudahkan peluang di celah kaki penjaga PJ City, Shihan Azmi.

Namun, banyak perubahan dalam corak permainan PJ City dalam babak seterusnya, seakan-akan mulai kepenatan.

Situasi itu Terengganu pula bertambah selesa menerusi jaringan Da Silva untuk berada di persada penjaring terbaik dengan enam gol.