Ketika barisan pasukan Liga Malaysia sedang rancak memancing nama-nama besar untuk memastikan skuad ampuh dalam saingan musim 2021, Terengganu pula sebaliknya.

Tanpa tonggak utama Dominique Da Sylva, skuad Peteh mahu menggunakan khidmat ramai pemain muda dan tidak akan membuat rombakan besar musim depan biarpun bakal beraksi di pentas Asia.

Nafuzi meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain mudanya selepas menamatkan kempen Liga Super 2020 di kedudukan ketiga.

Jurulatih berusia 42 tahun itu yang menjadi satu-satunya pengendali tempatan dalam lima pasukan terbaik 2020 itu lebih terbuka untuk memberi peluang kepada anak buahnya menambah pengalaman.

Cuma, ada beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh skuad Peteh pada musim depan.

Selepas tonggak utama, Da Sylva tidak lagi menyarung jersi hitam putih pada 2021, Terengganu kini fokus untuk melengkapkan kuota pemain import.

"Majoriti skuad Terengganu musim ini adalah pemain-pemain muda. Kami masih lagi mengekalkan mereka bagi musim hadapan dan untuk memperkuatkan lagi pasukan, semestinya barisan pemain berpengalaman amat diperlukan," kata Nafuzi.

"Tiada banyak perubahan akan dilakukan namun hanya beberapa pemain yang bakal mengisi posisi akan dibawa masuk."