Tekad, disiplin T-Team hampakan Sarawak

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 Oktober 2017 67
Tekad, disiplin T-Team hampakan Sarawak
Prestasi T-Team yang cemerlang dan disiplin bertahannya yang kental menyelamatkan gawang pasukan pelawat itu daripada bocor ketika terikat 0-0 menentang Sarawak dalam Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala, berkata anak buahnya telah mencuba sedaya-upaya, terutama pada 45 minit terakhir, namun azam kuat benteng T-Team berjaya menafikan pelbagai percubaan mereka.

"Bukan nasib. Tetapi kebijaksanaan taktikal mereka dalam menangani tekanan menjadi punca mereka berjaya menghalang kami daripada menjaringkan gol," katanya.

Sarawak dan T-team berkongsi satu mata tanpa jaringan, menyebabkan skuad Bujang Senang terperosok ke Liga Perdana musim depan, setelah Kelantan mengamuk dengan tiga gol dalam 15 minit terakhir perlawanan untuk menewaskan Melaka United 3-1 di gelanggang lawan.

Akuinya, prestasi pemain sememangnya sedikit terganggu tatkala penyokong setia melaungkan kebimbangan bahawa Kelantan sedang mendahului.

"Mereka (pemain Sarawak) cuba menggandakan asakan, namun pemain lawan bertindak melengahkan permainan, menyebabkan aksi berbaki menjadi tidak menentu.

"Sebaik mana pun perancangan dan sebanyak mana pun serangan yang dicetuskan, dalam bola sepak,  yang penting adalah untuk meletakkan bola ke dalam gawang. Kami gagal mencipta itu," katanya.

Pengiran Bala, bagaimanapun, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemain ke-12, iaitu penyokong Sarawak yang ramai hadir ke Stadium Negeri, yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi.

Ditanya haluan pasukan selepas ini, Pengiran Bala menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukannya sementelah kontraknya sebagai penolong jurulatih turut tamat pada musim ini.

"Kami ada banyak pemain muda yang berpotensi. Jika mereka diberi peluang, saya percaya kami akan memiliki pasukan yang kuat.

"Sedaya-upaya, kami harus kekalkan mereka untuk berjuang kembali ke Liga Super," tambahnya.

Ditanya apakah perancangan jika terus diberi kepercayaan menggalas peranan ketua jurulatih, Pengiran Bala berkata dia amat gembira bersama-sama pemain muda dan berbakat ini jika dipilih semula, dan berazam untuk membentuk pasukan agar lebih kuat.

"Kejayaan sebenar kami pada musim ini adalah membentuk barisan pemain muda dan  menggilap bakat dan pengalaman mereka. Itu satu kejayaan dan harap ia diteruskan.

"Untuk membentuk pasukan yang mantap dan serasi, kami tidak boleh melengahkan masa. Kami perlu dua bulan untuk persediaan sebelum sepak mula.

"Pada penghujung November, pasukan yang mantap seharusnya sudah dapat disediakan," tambahnya.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen