Tchetche akan meledak bersama Kedah -- Irfan

Oleh Tengku Danish Bahri 1 Disember 2019 4383
Tchetche akan meledak bersama Kedah -- Irfan
Bekas jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, meramalkan tonggak import, Kipre Tchetche, akan kembali meledak bersama juara Piala FA, Kedah.

Malah, gandingannya bersama penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman, juga dijangka menjadikan jentera serangan Kedah sebagai antara yang terbaik musim depan.

Irfan yang melatih Tchetche sejak 2017 berkata penyerang Ivory Coast itu masih berupaya menghasilkan magis walaupun prestasinya agak tenggelam pada awal musim.

"Tchetche tidak pernah menimbulkan masalah dan dia adalah salah seorang pemain import berdisiplin yang pernah saya bimbing.

"Saya fikir dia akan dapat sesuaikan diri bersama Kedah, tambahan pula dikelilingi pemain-pemain yang bagus.

"Sudah tentu sebagai juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia serta beraksi di peringkat Asia, Kedah akan menjadi pasukan yang perlu diberi perhatian pada 2020," katanya.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)

 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen