Tarikh pendaftaran pemain dilanjutkan bersyarat

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Januari 2021 576
Tarikh pendaftaran pemain dilanjutkan bersyarat
Barisan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berkemungkinan bakal dapat talian hayat lagi seminggu untuk melengkapkan senarai penuh pemain, khususnya buat pasukan yang masih memburu awang import.

Ia susulan pengumuman badan pentabdir, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menunda tarikh sepak mula liga yang akan bermula 5 Mac depan.

Jika menurut perancangan asal, tarikh tutup pendaftaran pemain bagi setiap pasukan adalah 14 Februari ini menjelang sepak mula yang dijadualkan pada 26 Februari depan.

Namun, dengan anjakan tarikh baru itu, ini juga bermakna tarikh pendaftaran liga akan diubah, iaitu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sepak mula.

Bagaimanapun, tarikh itu perlu diusulkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu.

"Taklimat dan pemakluman ini telah diberikan kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) secara di atas talian pada 25 Januari lalu. 

"Apabila liga ditangguhkan, MFL juga memanjangkan tempoh pendaftaran pemain pada kali pertama ini.

"Tetapi terpulang kepada kelulusan FIFA dan FAM untuk membenarkan perkara ini dilakukan," jelas kata CEO MFL, Datuk Abd Ghani Hassan, ketika diwawancara maya bersama wakil Astro Arena, Adam Zamri. 


 
Posted by Melaka United Soccer Association - MUSA on Monday, January 25, 2021


Antara pasukan yang difahamkan masih dalam usaha untuk melengkapkan pemain import adalah Sri Pahang FC, Perak, Melaka United dan Sabah.

"Kami selesa, tidak jadi masalah.

"98 peratus pemain kami sudah pun selesai," kata CEO Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri, yang masih memburu seorang pemain import.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen