Skuad Sabah akan melakukan yang terbaik dalam saingan Piala FA musim ini dan berharap mereka mampu mencipta kejutan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata sasaran pasukan untuk musim baru ini adalah sekurang-kurangnya memenangi satu piala dan oleh sebab itu, saingan Piala FA juga sangat penting.

"Sudah agak lama pasukan ini (Sabah) sering tenggelam dalam saingan Piala FA dan kali ini kami harus buktikan yang Tambadau juga mampu cipta kejutan.



"Kami akan bersiap sedia untuk menghadapi Piala FA seperti mana kami bersiap sedia menghadapi Liga Super," katanya ketika dihubungi hari ini.

Peter turut berharap pemain akan memberi aksi terbaik seterusnya mencatat keputusan baik pada awal saingan Liga Super bagi memastikan momentum baik berterusan sehingga aksi pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur.

"Seperti undian Piala FA semalam, kami akan bertemu dengan Kuala Lumpur di gelanggang sendiri pada 17 atau 18 Mac depan.

"Sebelum kami mulakan saingan Piala FA, terlebih dahulu kami akan menghadapi beberapa perlawanan dalam Liga Super dan adalah penting untuk mencatat keputusan positif bagi meneruskan momentum apabila menentang Kuala Lumpur kelak," katanya.

Kali terakhir Sabah menjulang Piala FA ialah pada 25 tahun lalu, iaitu ketika menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi final di Stadium Merdeka ketika itu.