Sabah kini memulakan pemburuan pemain import baru dengan beberapa pemain dijangka datang ke Kota Kinabalu untuk mencuba nasib bagi menyarung jersi skuad Tambadau itu yang akan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Terbaru, dua pemain import, masing-masing dari Brazil dan Argentina, mula menjalani latihan bersama skuad kendalian Jelius Ating itu dengan beberapa lagi, termasuk dari Indonesia dan Korea Selatan, dijangka menyusul minggu depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata usaha mencari pemain import lebih awal adalah untuk memastikan persiapan pasukan itu berjalan lancar dan seterusnya bersiap sedia untuk menghadapi Liga Super musim depan.

"Terdapat beberapa pemain di posisi penyerang, tengah dan pertahanan yang akan memperkuatkan kami bagi menghadapi Liga Super tahun depan.

"Hari ini merupakan hari pertama dua pemain itu berlatih bersama kami bagi sesi pemilihan.

"Sudah tentu keputusan akan ditentukan kemudian," katanya.

Sementara itu, Peter berkata keputusan sama ada akan menyambung atau menamatkan kontrak pemain-pemain yang membawa cabaran pasukan itu musim ini akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Bagi keputusan mengenai pemilihan ini, kami perlu memilih dengan sebaik-sebaiknya kerana (cabaran) ini ialah Liga Super dan bukannya Liga Perdana.

"Kami akan memilih pemain yang berkualiti," tambahnya.

Tambadau kini memiliki empat pemain import, iaitu Rodoljub Paunovic, Park Taesu, Ahmet Atayev dan Aguinaldo Mendes Veiga, dengan kesemua mereka masih mempunyai kontrak dengan SAFA sehingga penghujung tahun ini.