Pasukan Sabah akan memulakan sesi latihan fasa pertama mereka esok selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) untuk kembali berlatih, berkuat kuasa hari ini.

Pengendali Tambadau, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata beliau dan rakan sepasukannya gembira dengan perkembangan terbaru itu yang membolehkan mereka kembali semula ke padang.

''Alhamdulillah, akhirnya dapat berlatih semula, sudah tentu saya gembira dan pemain juga gembira kerana sudah tiga bulan kami tidak melakukan aktiviti di padang.

"Untuk latihan fasa satu ini, kami akan fokus untuk kembalikan 'sentuhan dan rentak' dengan bola dulu kerana ia sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan iaitu tiada kontak antara pemain dalam latihan.

"Kami juga akan pastikan SOP benar-benar dipatuhi kerana kesihatan dan keselamatan pemain serta pegawai adalah nombor satu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Kurniawan, barisan jurulatih dan pegawai pasukan telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan program latihan agar ia berjalan lancar.