Tambadau kekalkan kecergasan di rumah

Oleh Willie Jude 8 April 2020 596
Tambadau kekalkan kecergasan di rumah
Walaupun tidak lagi menjalani latihan seperti biasa, kesemua pemain Sabah masih berlatih sendiri di kediaman masing-masing bagi memastikan mereka terus cergas dan bersedia untuk beraksi apabila saingan Liga Super bersambung semula.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, berkata latihan kecergasan kesemua pemain juga dipantau menerusi aplikasi Whatsapp di mana mereka wajib menghantar video latihan.

"Program latihan juga disusun atur oleh jurulatih kecergasan, Sofie (Imam Faizal) dan kadang-kadang mereka berlatih secara langsung menggunakan 'video call'.

"Tidak dinafikan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang diumumkan kerajaan menjejaskan pasukan, terutama dari segi latihan

"Bagaimanapun, kami akur dan patuh dengan perintah berkenaan, apa yang boleh kami lakukan adalah mengekalkan kecergasan pemain," katanya ketika dihubung hari ini.

Henry berkata selain menjalani latihan di rumah, pemain juga diingatkan supaya mematuhi PKP dengan tidak keluar rumah jika tiada urusan penting.

"Kami mahu mereka kekal cergas dan kami juga mahu mereka bebas daripada sebarang penyakit termasuk Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa," katanya.

Setakat empat aksi Liga Super musim ini, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu kini berada di tangga keempat liga selepas mencatatkan satu kemenangan, dua kali seri dan satu kekalahan.

Tambadau sebelum ini mencatat keputusan seri 0-0 dengan PDRM dalam aksi pertama di gelanggang lawan seterusnya menang 3-1 ke atas Felda United di Stadium Likas.

Bagaimanapun, rekod tanpa kalah mereka lebur dalam perlawanan ketiga apabila kecundang 0-2 kepada Pahang di Kuantan.

Aksi terakhir Tambadau sebelum saingan Liga Super direhatkan akibat wabak Covid-19 menyaksikan mereka mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak di gelanggang sendiri.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen