Taktikal 'transition football' Feichtenbeiner disambut baik pemain Selangor

Oleh Muzaffar Musa 30 September 2020 2945
Taktikal 'transition football' Feichtenbeiner disambut baik pemain Selangor
Taktikal 'transition football' yang diperkenalkan pemangku jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, kini disambut baik oleh barisan pemain Selangor.

Walaupun tidak sampai dua minggu mengambil alih skuad The Red Giants itu, pendekatan yang diperkenalkan pengendali itu jelas memberikan kelainan buat pemain.

Perkara itu dipersetujui pemain tengah, Aliff Haiqal Hakim Lau, yang teruja untuk diturunkan dalam perlawanan Liga Super menentang PDRM, Sabtu ini.

"Mungkin daripada segi memberikan tekanan di bahagian atas," katanya kepada Nadi Arena.

"Jurulatih Michael gemar menggunakan cara permainan seperti itu.

"Mungkin itulah yang mahu diterapkannya dalam pasukan utama ini."

Penyerang, Rufino Segovia, menambah: "Setiap jurulatih mempunyai sistem dan gaya permainan yang berbeza. Kini kami sedang belajar mengenai cara permainannya.

"Saya fikir kami bermain dengan baik dalam perlawanan pertama yang dibimbingnya.

"Pasukan ini akan meningkat dan kami perlu menang dalam dua perlawanan terakhir.

"Ia perkara paling penting dan kami perlu mempunyai mentaliti seperti itu untuk layak ke Piala Malaysia

"Saya mahu menang satu piala tahun ini," katanya.

Pertahanan tengah, Nick Swirad, yang mungkin akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan ketua pasukan, Taylor Regan, Sabtu ini pula berasakan pembaharuan itu merupakan satu cabaran besar tetapi ia memberikan pembelajaran berguna buat pemain.

"Ia sesuatu yang berbeza dan saya yakin ia akan berhasil.

"Ia kurang daripada segi penguasaan tetapi lebih kepada penekanan di bahagian depan.

"Jadi, ia sesuatu yang berbeza dan pemain akan memerlukan masa untuk membiasakan diri.

"Ia akan memberikan tekanan buat pemain kerana keamatannya amat tinggi.

"Ia sesuatu yang baik, saya sedang belajar dan seluruh pasukan ini juga sedang mempelajarinya," katanya.

Regan tidak dapat diturunkan menentang PDRM kerana digantung perlawanan selepas mengumpulkan tiga kad kuning.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen