Taktikal Marcote ditagih Kedah

Oleh Penulis Jemputan 20 November 2017 375
Taktikal Marcote ditagih Kedah
Pemangku ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, melabel taktikal jurulatih import, Ramon Marcote, yang menggemari permainan hantaran bola pendek menjadi kelebihan yang wajar dipertimbangkan untuknya mengemudi pasukan itu bagi musim 2018.

Marcote merupakan calon yang kini dalam pemerhatian Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuknya kembali mengemudi pasukan itu selepas kali terakhir bersama skuad pada tahun 2015.

Menurut Nidzam, jurulatih dari Sepanyol itu sentiasa menerapkan taktikal permainan yang terbaik dalam latihan dan sudah dikenali dengan teknik hantaran pendek yang meningkatkan mutu barisan pemain.

Beliau sememangnya wajar diberi peluang bagi mengubati kekecewaan musim ini untuk membawa pasukan itu kembali meraih kejuaraan Piala Malaysia 2018, apatah lagi beliau juga sudah mengenali pasukan.

"Marcote banyak menggilap pemain-pemain tempatan Kedah. Beliau membantu mereka untuk mahir dengan permainan hantaran bola pendek," katanya.

Nidzam kini memegang jawatan sebagai pemangku sehinggalah ketua jurulatih diumumkan sebelum beliau kembali menggalas tugas selaku penolong.

Latihan akan disambung semula pada 11 Disember ini dan mengharapkan pihak pengurusan dapat mencari pengendali baru dalam kadar segera.

"Pada pendapat saya, KFA perlu mendapatkan pengendali baru sebelum latihan bersambung semula. Buat masa ini, saya masih memerlukan masa untuk mempertingkatkan pengalaman," ujarnya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen