Angin tiada ributpun tiada tetapi kejutan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Dalam satu tindakan mengejutkan, setiausaha kehormatnya, Tajul Hasnan Omar, meletak jawatan.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengenai isu itu.

Malah, Tajul Hasnan ketika ditemui berkata dia meletak jawatan untuk memberi peluang kepada muka baru.

"Tiada masalah apa-apa. Saya tidak bermusuh dan berkelahi dengan sesiapa.

"Genap setahun saya menjalankan tugas sebagai setiausaha. Cukuplah, bagilah peluang kepada orang lain pula.

"Mana tahu dia boleh buat lebih baik dari saya," katanya ringkas.

Walaupun Tajul Hasnan enggan menyatakan sebab sebenar, ramai yang berpendapat sebaliknya dengan berpegang kepada pepatah Melayu lama 'jika tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah'.

Malah, PAFA sudah melantik penggantinya, iaitu Mohd Azlin Nazeri, sebaik menerima surat peletakan jawatan itu.