Pasukan berstatus kelab, T-Team, membawa misi mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi bertemu Sarawak di Kuching, malam esok.

Menurut pengendalinya, Rahmad Darmawan, hanya keputusan seri atau kemenangan akan menjamin kedudukan T-Team terus kekal beraksi dalam Liga Super, musim depan.

Namun, tugas itu bukan mudah, dengan Sarawak yang turut memburu kemenangan mutlak di gelanggang sendiri, juga mahu mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Rahmad berkata, mereka akan memberi perhatian kepada aksi malam esok tanpa menghiraukan keputusan perlawanan lain kerana satu mata sudah mencukupi buat T-Team.

“Saya mahu pemain-pemain fokus dan menunjukkan komitmen terbaik kerana ini perlawanan yang menentukan masa depan pasukan.

“Dengan persiapan rapi, T-Team akan mengerah segala kemampuan yang ada,” ujarnya.

Walaupun mengakui ada sedikit tekanan buat pasukannya, jurulatih kelahiran Indonesia itu optimis T-Team mampu mencatat keputusan positif.

Tambah Rahmad lagi, senarai 11 pemain utama masih belum dimuktamadkan, dengan tonggak pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, dibelenggu masalah kesihatan.

Pertahanan kiri T-Team, Arif Fadzillah Abu Bakar, yang tidak beraksi sejak April juga seakan-akan sudah beraksi buat kali terakhir bersama pasukan itu kerana tidak turut serta dalam kunjungan ke Kuching.

“Sarawak sebuah pasukan yang menunjukkan peningkatan dan kami perlu mempamerkan rentak terbaik untuk mengatasi mereka," kata Rahmad lagi.