Selepas kehilangan separuh pemain utama musim ini, T-Team terus menerima berita buruk apabila Mohd Nor Hakim Hassan menjadi pemain terbaru yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kendalian Rahmad Darmawan itu.

Menurut penolong jurulatih The Titans, Mohd Azhari Salim, pemain sayap itu telah meminta untuk dilepaskan meskipun masih terikat dengan kontrak bersama T-Team sehingga penghujung 2017.

“Kami tidak akan menghalang hasratnya (Nor Hakim) yang meminta pelepasan untuk beraksi bersama Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana.

“Tetapi kontraknya masih berbaki setahun dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) harus membayar pampasan untuk menebus kontrak itu serta mengikut saluran dan peraturan yang ada.

“Nor Hakim adalah tonggak utama T-Team dan pihak pengurusan juga mahu mengekalkan khidmatnya tetapi tidak akan menyekat keputusannya jika mendapat tawaran lebih lumayan.

“Yang menjadi masalah adalah KLFA tidak mahu membayar pampasan dan di pihak mereka, mendakwa Nor Hakim yang mahu beraksi untuk pasukan itu.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin tetapi keputusan harus dimuktamadkan secara baik dan profesional.

“Semoga pemain ini dapat membuat keputusan yang bagus untuk mengembangkan kariernya,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Operasi T-Team,Mohd Syahrizan Mohd Zain, sebelum ini telah mengesahkan penghijran pemain-pemain pasukan itu, iaitu Muhammad Ilham Amirullah (Felda United), Wan Azraie Wan Teh (Pahang), Mohd Asrol Ibrahim, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Mohd Arif Fadzilah, Radhi Yusof (Terengganu) dan Muhammad Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).