Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain, tidak menolak kemungkinan menggantikan empat pemain import pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super 2017.

“Pihak pengurusan masih belum memutuskan sama ada akan mengekalkan khidmat pemain import musim ini atau tidak.

“Semuanya akan diselesaikan secepat mungkin dan senarai rasmi 30 pemain musim depan akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu.

“Beberapa pemain utama disahkan berhijrah ke pasukan lain, iaitu Muhammad Ilham Amirullah (Felda United), Wan Azraie Wan Teh (Pahang), Mohd Asrol Ibrahim, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar, Radhi Yusof (Terengganu) dan Muhammad Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

“Tidak dinafikan kehilangan mereka agak menggusarkan, namun saya yakin T-Team mampu memberi persembahan membanggakan meskipun tidak diletakkan harapan sebagaimana musim ini.

“Empat pemain skuad Piala Presiden yang muncul naib juara musim ini, akan diserap dan dibawa masuk ke pasukan senior untuk memperkuatkan pasukan,” kata Syahrizan.

Empat pemain asing menjadi tunjang kejayaan The Titans musim ini, iaitu penyerang dari Brazil, Patrick Cruz, pemain tengah, Dilshod Sharofetdinov (Uzbekistan) serta dua pemain dari Mali, Makan Konate dan Abdoulaye Maiga.

“Berdasarkan prestasi, pihak pengurusan mahu mengekalkan kesemua mereka, namun keputusan bergantung kepada perancangan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan.

“Beliau akan menilai posisi yang kritikal, kami akan mendapatkan dua penyerang import jika itu yang diperlukan atau empat pemain pertahanan import jika barisan pertahanan yang wajar diberi perhatian.

“Namun, kami perlu berbelanja dengan berhemah mengikut kemampuan kewangan pasukan dan anggaran perbelanjaan tidak lebih RM10 juta, seperti musim ini,” tambahnya lagi.