Pasukan berstatus kelab, T-Team, tidak menolak kemungkinan untuk membuat rombakan melibatkan barisan pemain bagi menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, begitupun mengakui sebarang keputusan hanya akan dibuat ketua jurulatih, Rahmad Darmawan, yang ketika ini berada di negaranya, Indonesia.

Menurutnya, mereka sudah menilai prestasi kesemua tonggak musim ini selain telah mengenal pasti pemain yang akan dikekalkan dan digugurkan, termasuk awang import.

Azhari turut mengesahkan enam pemain Terengganu ditawarkan beraksi bersama mereka, iaitu Amierul Hakimi Awang, Hafizal Mohamad, Shahrin Sapien, Abdul Shukor Jusoh, Hazeman Abdul Karim dan Amirul Syahmi Ashari.

“Pihak pengurusan akan membuat pemilihan semula ke atas keenam-enam pemain ini sekiranya mahu diserapkan ke pasukan T-Team.

“Mungkin ada antara mereka akan menyertai kami, namun kata putus hanya akan dibuat barisan kejurulatihan,” ujarnya.

Tambah Azhari lagi, kehadiran pemain-pemain baharu memperkuatkan The Titans diharap mampu mengatasi kelemahan ketara pasukan itu, terutama di bahagian serangan dan penjaga gol.