Penjaga gol kelahiran Kelantan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, tidak menjangka menjadi rebutan beberapa pasukan Liga Malaysia walaupun masih dibelenggu dengan 'dosa silam' sejurus sah menyertai Petaling Jaya City (PJ City) untuk saingan musim depan.

Syihan bebas daripada penggantungan selama 20 bulan ekoran kes doping pada 6 Oktober lalu dan walaupun kembali ke kancah Liga Malaysia dengan rekod buruk, saham bekas penjaga gol skuad B-23 kebangsaan itu tetap tinggi.

Semalam, dia menandatangani kontrak dengan pasukan baru, PJ City, setelah terpaksa menolak beberapa tawaran lain.

"Saya sertai PJ City kerana jurulatih dalam pasukan itu. Memang banyak pasukan yang inginkan khidmat saya tetapi PJ City menjadi pilihan untuk saya mulakan semula karier," katanya.

Pemain berusia 23 tahun itu teruja untuk menyertai latihan pertama bersama skuad bimbingan K. Devan itu bermula Isnin ini.

Dalam tempoh penggantunggan, Syihan sekadar berlatih sendirian dalam usaha mengekalkan prestasinya sebelum kembali beraksi.

"Saya kini bersemangat untuk beraksi semula. Apa yang terjadi sudah berlalu, kini saya perlu teruskan karier."