Bekas pertahan skuad B-23 negara, Syazwan Zaipol Bahari, masih bertenang di sebalik penantian untuk mengesahkan pasukan mana yang akan diwakilinya dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

Bekas pemain Perak dan Petaling Jaya City FC itu baru sahaja menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hatinya, Siti Nadirah Ibrahim, selepas dua tahun mengenal hati budi.

Syazwan Zaipol turut mengesahkan bahawa dia berkemungkinan besar akan kekal dalam saingan Liga Super musim depan sambil berharap ada rezeki "pengantin baru" yang akan memihaknya.

"Saya masih dalam proses perbincangan dengan beberapa pasukan Liga Super.

"Bagi saya, dalam bola sepak ini, segala-galanya berkaitan dengan prestasi dan minit permainan.

"Dengan keadaan pandemik (COVID-19) ketika ini, acara sukan juga semakin berkurangan dan lambakan pemain semakin ramai, jadi amat penting untuk mendapatkan minit permainan dan prestasi dalam perlawanan.

"Insya-Allah, saya percaya kepada rezeki dan Insya-Allah ada rezeki kahwin buat saya," katanya.