Pemain pertahanan, Syazwan Zaipol Bahari, mahu membuktikan bahawa dirinya kini lebih matang apabila pulang ke pangkuan Perak dalam menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2018 selepas dipinjamkan kepada PKNP FC selama semusim.

"Saya akan guna pengalaman bersama PKNP untuk membantu The Bos Gaurus (TBG) menjulang kejayaan," ujarnya.

Namun, Syazwan menyedari tugas utamanya ialah untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih, Mehmet Durakovic, dalam mengisi kesebelasan utama TBG.

"Memang sukar dan sengit kerana Perak juga mempunyai pemain pertahanan yang mantap seperti pemain kebangsaan, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan dan Shahrul Saad.

"Oleh itu, saya berazam dan akan berusaha bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu sekadar menjadi penumpang atau pemanas kerusi simpanan," katanya.