Bintang muda Selangor, Syahmi Safari, melaungkan kesetiaan untuk kekal bersama skuad Red Giants dan secara tidak langsung menepis spekulasi penghijrahan ke sebuah pasukan gergasi tanah air musim depan.

Syahmi berjaya menyerlahkan dirinya dalam musim pertamanya bersama skuad Liga Super Selangor, musim ini.

Meledak empat gol daripada 16 penampilan, anak kelahiran Kuala Selangor berusia 19 tahun itu memilih untuk terus menabur bakti bersama negeri kelahirannya.

"Saya hampir pasti kekal kerana baru semusim beraksi dalam skuad Liga Super Selangor.

"Saya mahu terus membantu Selangor dan meningkatkan permainan di sini," katanya.

Syahmi menjadi watak penting kejayaan Selangor menundukkan Terengganu 2-0 dalam aksi final pertama Piala Presiden di Stadium Selayang, Jumaat lalu.

Menyumbat gol kedua pada minit ke-27, kemenangan itu mencerahkan peluang skuad remaja Gergasi Merah Kuning itu untuk mengakhiri penantian sembilan tahun untuk bergelar juara.

"Saya tidak pernah memenangi apa-apa piala. Piala Presiden adalah pentas terbaik untuk saya memenangi kejuaraan sulung dalam karier," katanya.