Ke mana dan mengapa? Itu persoalan utama.

Isu kehilangan Mohamadou Sumareh terus menjadi perbualan hangat keluarga bolasepak di Malaysia apabila pemain naturalisasi negara itu difahamkan sudah meleraikan ikatannya bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP)

Sumareh mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak hadir ke sesi latihan selama hampir sebulan.

Tindakannya itu mendapat kecaman dan kritikan hebat daripada peminat bola sepak tanah air sehingga dilabel tidak mengenang budi dan tidak 'gentleman'.

Tetapi daripada sudut berbeza, terdapat perkhabaran bahawa pemain itu tidak dibayar gaji mengikut tarikh yang ditetapkan sehingga bertindak meninggalkan pasukan itu kerana kontraknya sudah terbatal.

Berdasarkan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontrak pemain, memperuntukkan kontrak seseorang pemain itu boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan, sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan sukan, sekiranya pemain tidak menerima gaji mereka lebih daripada sekali. Pemain harus menulis surat kepada setiausaha atau pengurus pasukan bagi menyatakan niat untuk menamatkan kontrak.

Setelah menyatakan niat untuk menamatkan kontrak, pemain berhak untuk berunding dengan mana-mana kelab baru tanpa perlu mendapat kebenaran daripada kelab semasa.

Dalam kes seperti itu, kelab akan melepaskan pemain kepada kelab baru dan perlu melepaskan sijil perpindahan mereka tanpa syarat sebaik kontraknya ditamatkan.

Menerusi satu perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang, berkata: "Jika dia ada kemelut dengan apa sekali pun, pasti ada cara (untuk menyelesaikannya).

"Sebagai tambah nilai kepada perkara ini, zaman kegemilangannya (Sumareh) bermula di Pahang.

"Jurulatih Dollah (Salleh) yang membimbingnya daripada kosong, tiada bintang, sehingga kini mendapat rating lima bintang dan menjadi pemain naturalisasi.

"Kami hanya mengharapkannya untuk berbincang dengan jurulatih, berbincang dengan pengurus dan jangan tinggalkan pasukan dengan begitu sahaja," katanya

Ketika ini wujud pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Sumareh dengan ada yang mendakwa pemain sayap itu telah berkelana ke Liga Thailand untuk bersama pasukan Police Tero FC sementara ada yang mengaitkannya dengan sebuah pasukan gergasi tanah air.

Bagaimanapun, hanya Sumareh dapat menguraikan persoalan itu bagi menamatkan segala desas-desus yang ditimbulkannya.


Kronologi kehilangan Sumareh:
27 Ogos
Didakwa tidak hadir sesi latihan selama hampir sebulan.

28 Ogos
Terlepas aksi keempat Liga Super lawan Johor DT.

29 Ogos
Pengurus Pahang label Sumareh tidak kenang budi.

29 Ogos
Sumareh minta maaf dalam satu kenyataan media sosial.