Kapten skuad bola sepak B-22 negara, Adib Zainuddin, tetap berasakan pemain negara perlu berkumpul bersama dengan lebih lama untuk membentuk skuad lebih mantap menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun depan.

Skuad Projek Sukan SEA 2017 menutup musim 2016 dengan keputusan seri tanpa jaringan bertemu Filipina B-22 di Manila, semalam.

Ia sememangnya penutup kurang memuaskan daripada anak buah Frank Bernhardt kerana keputusan lebih baik dicatatkan dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

Aksi tidak konsisten skuad negara tampak berpunca daripada kegagalan pemain mencapai tahap optimum masing-masing untuk menghadapi tugasan antarabangsa.

"Saya lebih suka jika kami dikumpulkan bersama dalam tempoh tertentu supaya dapat membentuk keserasian yang lebih baik berbanding dikumpulkan dalam tempoh yang pendek," ujar Adib.

Lantas, ada kewajarannya pengurusan skuad B-22 negara memikirkan perancangan lebih baik untuk skuad muda ini pada musim depan.

Ini kerana masa kian suntuk buat mereka membentuk skuad mantap tatkala negara lain pula menunjukkan peningkatan prestasi, terutamanya pasukan Myanmar.

"Kami masih menunggu apa perancangan dan langkah selanjutnya daripada pihak pengurusan," kata pembantu jurulatih B-22, Aminuddin Hussin.