Penganalisis bola sepak negara, Nidzam Jamil, menganggap keputusan terbaru Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ke atas PKNS FC sebagai tidak wajar dan hanya menggunakan pendekatan kuno.

Benar, FAS mempunyai hak untuk memutuskan penglibatan PKNS dalam saingan Liga Super musim depan, namun dengan menyekat PKNS yang merupakan ahli gabungan FAS dianggap sebagai tindakan yang tidak matang.

PKNS nyata menjadi mangsa keadaan ekoran kepincangan yang semakin meruncing sedang melanda kem Selangor ketika ini.

"Bagaimana surat itu ataupun persetujuan yang menyatakan PKNS belum lagi dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia dan seumpamanya adalah sesuatu yang mendukacitakan.

"Ia seperti mengeruhkan lagi suasana," ujarnya.

Tambah Nidzam, FAS sudah terlalu selesa dengan peruntukan dana dari kerajaan negeri setiap tahun sehingga menjadikan mereka sudah hilang kreativi untuk mencari dana luar.

"Jika setiap tahun Selangor mengharapkan peruntukan daripada sumber yang sama seperti yang dilaporkan baru-baru ini, iaitu RM18 juta daripada kerajaan negeri dan RM5 juta daripada PKNS untuk mentadbir sebuah pasukan Liga Super, ia bukan cara bola sepak moden dijalankan."