Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dali Wahid, menafikan pihaknya tiada usaha daripada segi program pembangunan buat pengadil.

Bagi Dali, kenyataan bekas exco FAM, Subkhiddin Salleh, hanya sebagai pandangan peribadi semata mata.

Beliau tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan bekas pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu ketika mempersoalkan program pembangunan buat pengadil negara.

Jika kegagalan yang dimaksudkan Subkhiddin itu berlaku ketika dia bersama FAM, Dali menegaskan ia adalah kegagalan yang bersifat individu.

"Mungkin khidmatnya sebagai pengerusi hanya sekejap, jadi dia berasa gagal melahirkan pengadil-pengadil, tetapi daripada pembangunan, kami ada usahakan," katanya dalam Majlis Penyerahan Tajaan Jersi Pengadil Liga-M 2020 di Wisma FAM, hari ini.

Dali juga menolak dakwaan Subkhiddin yang melabelkan badan induk itu menganaktirikan keperluan pengadil selain turut mengetepikan kepentingan pengadil di peringkat domestik.

"Dua perkara penting mengenai ini dan salah satunya adalah urusan yang belum dapat selesai. Apa yang kami buat hari ini akan dapat capai (hasil) seperti yang kami kehendaki esok.

"Kalau nak kami tidak mengadakan program atau menganaktirikan sesiapa, itu tidak benar.

"Kami dalam proses memperbaiki kelemahan-kelemahan yang kami hadapi dari semasa ke semasa," katanya lagi.