Suasana sambutan Hari Krismas tetap sama buat pemain PKNS FC, K. Reuben, namun terdapat sedikit kelainan tahun ini apabila kali pertama dapat meraikan bersama isterinya.

Saban tahun, Reuben akan menyambut Krismas di rumah kebajikan Desa Amal Jireh di Semenyih di mana dia merupakan salah seorang sukarelawan.

Situasi yang sama berlaku tahun ini, namun lebih istimewa dia kini turut disertai isterinya bagi meraikan sambutan Krismas di samping keluarga, rakan-rakan dan anak-anak yatim.

"Ini merupakan Hari Krismas yang pertama saya bersama isteri dan bersama ahli keluarga," kata Reuben.

Selepas mengharungi musim yang cukup mencabar bersama Pulau Pinang tahun ini, Reuben memutuskan untuk mengambil haluan baru dengan menyertai PKNS bagi musim 2018.

Dua musim terakhir bersama PDRM dan Pulau Pinang menghadirkan kedukaan buat bekas pemain kebangsaan ini apabila pasukan diwakilinya jatuh ke Liga Perdana.

Mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan baru, apatah lagi dengan kelibat pengendali, Datuk K. Rajagobal, Reuben tekad membuktikan kemampuan sebenar bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Dua atau tiga tahun lalu, saya mengharungi saat sukar apabila pasukan yang disertai gagal mempamerkan persembahan terbaik. Sasaran saya kali ini bersama PKNS adalah cuba untuk memberikan yang terbaik dan konsisten dalam setiap perlawanan," katanya.