Status Felcra ditentukan 15 November

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2018 279
Status Felcra ditentukan 15 November
Ketua Pengarah Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, masih menganggap status Felcra FC kekal dalam Liga Super musim depan tetapi segalanya tertakluk kepada keputusan akhir bagi tempoh sehingga 15 November depan.

Pendirian MFL adalah Felcra kekal dalam kelompok Liga Super musim depan walaupun timbul pelbagai versi melibatkan status penyertaan kelab itu.

Segalanya bergantung kepada kedudukan dana, dengan Felcra diberi tempoh sehingga 15 November walaupun mesyuarat kedua First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab membabitkan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijadual 7 November depan.

"Daripada sudut pelesenan kelab, kami sedia maklum dalam permohonan Felcra sudah mencapai 76 peratus, bermakna melebihi peratusan yang sepatutnya. Berkemungkinan besar mereka akan beraksi dalam Liga Malaysia 2019," kata Shazli.

Felcra hanya perlu fokus terhadap usaha mendapatkan pelesenan kebangsaan terlebih dahulu memandangkan kelab itu baru dinaik taraf ke Liga Super.

Namun, jika menduduki kelompok lima terbaik Liga Super musim depan, pelesenan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) perlu diselesaikan dengan kadar segera.

"Mereka perlu memohon lesen kebangsaan. Ketika ini, mereka dinaikkan daripada Liga Perdana, jadi bukan satu kewajipan untuk mendapatkan lesen daripada AFC melainkan mereka juara Piala FA tahun ini kerana slot ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia sudah terjamin," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen