Ilija Spasojevic percaya dia mampu membentuk gandingan mantap bersama bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Amri Yahyah, dalam kesebelasan Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Super 2017.

Spasojevic yang sudah dinobatkan sebagai penjaring import terbaik Liga Perdana dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 menyifatkan Amri ibarat pemain muda berkualiti sekalipun sudah berusia 35 tahun.

Bekas bintang import Liga Super Indonesia itu mengakui tidak sabar memulakan saingan Liga Super 2017 dengan bergandingan bersama Amri.

"Amri baru tiba minggu ini. Saya baru menjalani beberapa sesi latihan bersamanya tetapi saya sudah mulai suka dengan corak permainannya.

"Walaupun usianya bukan muda lagi tapi dia tetap bersemangat dan berkualiti tinggi.

"Kami gembira dia bersama kami dan saya yakin Amri akan banyak membantu Melaka," kata pemain berasal dari Montenegro itu.

Dalam pada itu, Spasojevic menegaskan tiada tekanan buat Melaka mengharungi cabaran dalam Liga Super memandangkan musim depan adalah tahun pertama mereka berada dalam kelompok elit tempatan.

Kehadiran jurulatih baru, Eric Williams, turut memberi dimensi baru kepada corak permainan Melaka musim depan.

"Kami sama sekali tidak tertekan kerana kami baru melayakkan diri.

"Saya fikir kami akan menikmati perlawanan dan membuat yang terbaik.

"Sistem permainan kami mungkin diubah kerana jurulatih sebelum ini, Mat Zan Mat Aris, menggunakan formasi 4-3-2-1.

"Nampak gayanya kami tidak akan menggunakan sistem itu lagi. Kedua-duanya merupakan jurulatih yang berbeza dengan cara yang berbeza."